KUALA LUMPUR – Padah merakam paha seorang wanita yang sedang menaiki eskalator, seorang jurutera kilang dipenjara lima hari dan denda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, Isnin.
Majistret Nur Azura Murah menjatuhkan hukuman tersebut ke atas Nasrul Aizat Zulkifli, 25, selepas tertuduh mengaku bersalah terhadap pertuduhan hendak mengaibkan kehormatan dengan merakam video bahagian sulit seorang pekerja kedai telefon berusia 29 tahun, menggunakan telefon bimbitnya, Sabtu lepas.
Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu bermula dari tarikh dia ditangkap pada 13 Jun lepas dan turut memerintahkannya dipenjara lima bulan sekiranya dia gagal membayar denda.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di tangga eskalator tingkat 1, Plaza Low Yat, Dang Wangi di sini pada 6.30 petang, 13 Jun lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.
Mengikut fakta kes, mangsa yang ketika itu sedang menaiki eskalator untuk ke tingkat satu menyedari tindakan seorang lelaki yang meletakkan telefon bimbit di bawah skirt yang dipakainya.
Mangsa kemudian meminta tertuduh menunjukkan telefon bimbit itu namun dia enggan dan menafikan perbuatannya menyebabkan mangsa menjerit meminta tolong.
Beberapa pekerja di plaza itu yang menyedari jeritan mangsa kemudian membantunya menahan tertuduh dan mangsa telah memeriksa telefon bimbit tertuduh dan mendapati satu rakaman video yang menunjukkan bahagian pahanya.
Ketika rayuan, tertuduh yang diwakili peguam P. Muniswer memohon mahkamah menjatuhkan hukuman denda minimum dengan alasan ia merupakan kesalahan pertama tertuduh dan dia juga telah insaf dengan perbuatannya.
“OKT (Orang Kena Tuduh) telah ditahan reman selama tiga hari, yang telah menjadi satu pengajaran pada OKT untuk tidak mengulangi kesalahannya itu,” katanya.
Timbalan Pendakwa Raya Ezrene Zakariah memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berbentuk pengajaran mengambil kira tindakan tertuduh yang telah menyebabkan gangguan emosi dan trauma kepada mangsa.
“Tindakan OKT juga secara amnya boleh menjejaskan keselamatan wanita dan anak gadis lain sebagaimana kes yang berlaku terhadap mangsa,” hujahnya. – BERNAMA
https://www.youtube.com/watch?v=6uLJ02y75IQ

