KUALA LUMPUR – Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan barisan kepimpinan baharu PAS yang dipilih oleh ahli parti itu bagi penggal 2015-2017 semalam.
Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail bagaimanapun mengingatkan kepimpinan baharu PAS terbabit supaya terus berpegang kepada prinsip musyawarah serta dasar bersama pakatan rakyat
“Perjalanan kita masih jauh dan pelbagai cabaran, dugaan, mehnah dan fitnah politik perlu kita tempuhi bersama dalam semangat persaudaraan dan kekeluargaan,
“Walaupun kita (pakatan rakyat) memperolehi 52 peratus undi popular dalam Pilihanraya Umum Ke-13, tetapi waqie politik tanah air memerlukan kita bersatu tenaga dan usaha. Dengan berpegang kepada prinsip musyawarah serta dasar bersama pakatan rakyat, Insya-Allah kita dapat menyelesaikan masalah,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.
Justeru, Wan Azizah mahu pakatan rakyat istiqamah dan melihat titik-titik pertemuan yang dapat membina harapan untuk rakyat Malaysia dalam pelbagai isu yang dihadapi negara.
“Yang jauh, marilah kita dekatkan. Yang keruh, marilah kita jernihkan. Yang batil, marilah kita terus lawan, demi Malaysia yang lebih baik,” katanya.
Media semalam melaporkan, golongan pro-ulama yang diketuai Abdul Hadi menyapu bersih jawatan utama dalam pemilihan pucuk pimpinan baru PAS, di samping menguasai sepenuhnya teraju Dewan Pemuda dan Muslimat parti itu.
Abdul Hadi juga berjaya mengetepikan pencabarnya Ahmad Awang untuk mengekalkan jawatan presiden PAS, dengan memperolehi kira-kira 80 peratus daripada 1,160 undi.
Timbalan barunya adalah Tuan Ibrahim yang memperoleh 76 peratus undi, untuk menewaskan penyandang dua penggal jawatan itu, Mohamad Sabu.
Manakala tiga penyandang jawatan naib presiden – Datuk Husam Musa, Salahuddin Ayub dan Datuk Mahfuz Omar tersingkir dan digantikan dengan Idris, Nik Amar dan Iskandar.
Bagi 18 jawatan jawatankuasa pusat pula, hanya seorang calon pilihan Abdul Hadi yang gagal, iaitu Kamaruzaman Mohamad. – mynewshub.cc

