KEDATANGAN bulan Ramadhan kali ini pastinya lebih bermakna buat penyanyi Najwa Mahiaddin kerana pertama kalinya dapat berpuasa bersama suami tercinta, Idris Koh yang merupakan seorang mualaf.
Bercerita mengenai pengalamannya itu, Najwa mendedahkan suaminya tidak kekok untuk berpuasa selain tidak cerewat kerana mempunyai pengalaman berpuasa sebelum memeluk Islam.
“Suami saya sebelum ini sudah pernah berpuasa dan tahun ini ialah tahun kelima dia berpuasa.
“Sebelum ini pun dia berpuasa kerana minatnya terhadap agama Islam itu sendiri bukannya sebab mahu berkahwin dengan saya dan pada tahun lepas lagi dia sudah berpuasa,” katanya yang ditemui semasa Majlis Berbuka Puasa anjuran Sony Music Malaysia.
Dalam pada itu, Najwa bersyukur kerana suami sudah mengetahui selok-belok ajaran agama Islam dan dia hanya membantu untuk membetulkan apa yang sepatutnya.
“Saya hanya membantu dia kerana dia sudah banyak mengetahui mengenai Islam itu sendiri. Lagipun ini adalah pengalaman pertamanya berbuka, bertarawikh dan bersahur bersama keluarga saya dan itu mungkin berbeza buat dia daripada sebelum ini,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Najwa akan mempromosikan album terbarunya berjudul ‘Aurora’ tidak lama lagi.
Terdahulu, perkahwinan Najwa pernah mencuri tumpuan umum kerana dia bukan sahaja seorang penyanyi, tetapi juga merupakan anak kepada Timbalan Menteri Malaysia. – MYNEWSHUB.CC
Oleh: CARRIE
Sumber: Roti Kaya
