SINGAPURA – Ketua Kontinjen Negara (CDM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria tetap dengan pendirian tegas untuk menghantar pulang Muhammad Nazmi Faiz Mansor yang terbabit dalam insiden meludah pemain Timor Leste dalam aksi sulung Kumpulan B saingan bola sepak Sukan SEA Singapura, Sabtu lepas.
Mohamad Norza berkata pemain tengah dari Selangor itu sepatutnya terus dihantar pulang pada hari kejadian kerana tindakan pemain itu amat memalukan negara dan tidak mempunyai semangat kesukanan.
“Kita sepatutnya terus menghantar pulang pemain itu namun pengurus pasukan skuad Harimau Muda, Datuk Seri Afandi Hamzah meminta agar keputusan tersebut ditangguh terlebih dahulu sebelum Jawatankuasa Disiplin Konfederasi Sepak Bola Asia (AFC) memutuskan hukuman yang bakal dikenakan kepada pemain tersebut,” katanya kepada pemberita selepas upacara menaikkan bendera Malaysia di perkarangan Stadium Nasional Singapura hari ini.
Tindakan Muhammad Nazmi Faiz meludah pemain Timor Leste, Filipe Oliveira pada minit ke-31 perlawanan menyebabkan beliau dibuang padang oleh pengadil, sekali gus menjejaskan rentak skuad negara yang terpaksa bermain dengan 10 pemain.
Pada perlawanan tersebut, skuad Bawah 23 tahun negara di bawah bimbingan Datuk Ong Kim Swee itu hanya sekadar menang tipis 1-0.
“Setiap atlet yang beraksi di kejohanan luar perlu tunjukan disiplin yang tinggi bagi menjaga imej negara memandangkan mereka adalah duta kecil negara yang sentiasa membawa nama Malaysia di luar negara,” katanya.
Dalam perkembangan lain, mengulas mengenai kejayaan skuad ping pong negara menyumbang pingat pertama negara di Sukan SEA Singapura, Mohamad Norza berkata perkembangan tersebut merupakan satu petanda positif bagi kontinjen negara walaupun mereka hanya mengondol pingat gangsa.
Beregu wanita negara, Ho Ying dan Lee Rou You terpaksa berpuas hati dengan pingat gangsa selepas tewas 11-9, 11-7, 11-8 dan 11-4 kepada wakil pasukan tuan rumah, Feng Tianwei dan Yu Mengyu pada aksi separuh akhir di Stadium Tertutup Singapura.
Mohamad Norza berkata kejayaan tersebut merupakan satu permulaan yang baik kerana skuad ping pong tidak diletakkan sebagai sandaran pingat utama negara.
“Walaupun pingat gangsa, ia adalah satu kejayaan yang besar kerana bukan mudah untuk mara sehingga ke separuh akhir dalam sukan ping pong,” katanya. – BERNAMA