KUALA LUMPUR – Majlis ulang tahun pertama bagi memperingati mangÂÂsa tragedi pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 yang dipercayai ditembak jatuh di ruang udara Ukraine tahun lepas akan diadakan pada 11 Julai ini.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata majlis berkenaan akan diadakan di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, Selangor.
“Majlis ini bagi memperingati mangsa MH17, tragedi MH17 amat penting bagi kita. Kita amat ambil berat atas apa yang berlaku terhadap pesawat ini dan berazam bawa pihak bertanggungjawab ke muka pengadilan,” katanya.
Beliau yang juga Presiden MCA berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Pendidikan Khas Integrasi Komuniti Chest di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Sam Yoke di sini, hari ini.
Tragedi berdarah pada 17 Julai 2014 itu mengorbankan kesemua 298 penumpang dan anak kapal pesawat berkenaan, termasuk 44 rakyat Malaysia yang dalam penerbangan rutin dari Amsterdam, Belanda ke KLIA.
Sementara itu, Tiong Lai berkata Kementerian Pengangkutan dimaklumkan bahawa laporan akhir penyiasatan ke atas tragedi pesawat MH17 sedang disiapkan dan yakin akan dikeluarkan tidak lama lagi.
Pasukan penyiasatan antarabangsa itu diketuai Belanda dan juga diwakili penyiasat dari Malaysia.
“Kita sedang menunggu laporan dari pasukan penyiasat dan yakin laporan ini akan memberi kita maklumat yang membawa kepada pihak yang bertanggungjawab dalam menjatuhkan MH17.
“Kalau boleh kita mahu laporan ini secepat mungkin sebab ulang tahun pun tidak lama lagi… tetapi kita beri mereka sedikit masa lagi untuk mengetahuinya,” kata Tiong Lai.
Kerajaan tegasnya, berazam bawa pihak bertanggungjawab ke muka pengadilan dan menggesa Pertubuhan Bangsa Bersatu mengadakan resolusi bagi mendapatkan usaha dunia untuk menyiasat apa yang berlaku terhadap MH17.
Terdahulu dalam ucapan perasmiannya, Liow meminta Kementerian Pendidikan menyediakan lebih ramai warga pendidik dalam bidang pendidikan khas di sekolah-sekolah termasuk di SJKC negara ini.
Ujarnya, pendidik dalam bidang berkenaan didapati masih kurang berbanding murid yang berkeperluan khas untuk ditempatkan di sekolah-sekolah di negara ini.
“Kita tahu Kementerian Pendidikan telah menjalankan pelbagai usaha menyediakan kemudahan pendidikan khas kepada murid-murid, namun kita harap lebih ramai warga pendidik yang mahir dalam keperluan ini dilatih,” katanya. – Agensi/Mynewshub

