Georgetown – Akibat terlalu bimbang dengan hukuman bakal dikenakan, seorang lelaki yang berada dalam kandang tertuduh nekad melarikan diri ketika prosiding kesnya berlangsung di tingkat satu Mahkamah Sesyen, di sini, semalam.
Sebelum itu, Muhammad Alias Muhammad Yusoff, 27, yang berada dalam kandang tertuduh didapati bersalah terhadap tuduhan melakukan kes rompakan bersenjata dan ketika itu Timbalan Pendakwa Raya Charanjit Singh memohon mahkamah supaya mengenakan hukuman berat terhadapnya.
Tertuduh yang terkejut terus dengar keputusan itu berlari keluar dari kamar mahkamah sehingga ke kawasan pintu pagar mahkamah sebelum dia diberkas polis mahkamah dan pengawal keselamatan sejurus hilang arah sebaik tiba di kawasan pagar berkenaan.
Tindakan lelaki terbabit turut menggemparkan orang ramai sebelum dia dibawa semula ke kamar mahkamah dengan tangan bergari ke dalam kandang tertuduh selepas hanya 15 minit meloloskan diri.
Hakim Zulhazmi Abdullah kemudian menjatuhkan hukuman penjara enam tahun dan dua sebatan terhadap tertuduh.
Terdahulu, Muhammad Alias didakwa merompak Norhaizam Borhan, 36, di tandas awam Jalan Masjid Kapitan Keling, di sini, jam 4.30 petang, 16 September 2013.
Dia yang bekerja sebagai pembantu kedai didakwa menggunakan kerambit untuk merampas wang RM400, telefon pintar Samsung Galaxy S4 dan Samsung Corby milik mangsa.
Peguam bela tertuduh, RSN Rayer berkata, anak guamnya itu tidak akan didakwa di mahkamah kerana kesalahan melarikan diri berikutan sudah memohon maaf kepada mahkamah.
“Saya bagi pihak anak guam sudah memohon maaf kepada mahkamah. Cubaannya melarikan diri kerana terlalu terkejut selain keliru sebaik mendengar keputusan bersalah yang dibacakan terhadapnya,†katanya ketika dihubungi, semalam. – myMetro Online