KUALA LUMPUR – Malaysia mencerahkan peluang ke suku akhir Liga Hoki Sedunia (HWL) selepas mencatat kemenangan kedua berturut-turut dengan menewaskan Ireland 4-2 pada perlawanan Kumpulan B di Antwerp, Belgium hari ini.
Hasil kemenangan kedua itu, Malaysia mengumpul enam mata selepas meraih tiga mata penuh dengan mengalahkan China 3-2 pada Ahad lepas.
Perlawanan hari ini juga merupakan pencapaian membanggakan bagi pemain kebangsaan Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil yang beraksi dalam perlawanan ke-200 beliau di peringkat antarabangsa.
Pada aksi di Stadium KHC Dragons hari ini, pasukan nombor ke-14 dunia Ireland memberi tentangan hebat kepada Malaysia yang berada di kedudukan ke-12 dunia pada awal permainan, termasuk menyamakan kedudukan selepas Malaysia mendahului menerusi jaringan Izwan Firdaus Ahmad Tajuddin pada minit ke-13 hasil pukulan sudut penalti.
Peter Caruth menyamakan kedudukan seminit kemudian.
Pemain berpengalaman Muhammad Razie Abdul Rahim kembali meletakkan Malaysia di hadapan tiga minit kemudian, tetapi Shane O’Donoghue sekali lagi mengikat kedudukan 2-2 sebelum tamat suku kedua perlawanan.
Malaysia terus menguasai suku ketiga perlawanan dan pemain kelahiran Perak Mohamad Sukri Abdul Mutalib menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-59.
Lima minit sebelum wiset penamat, Izwan Firdaus menjadikan kedudukan 4-2 selepas menjaringkan gol kedua peribadinya malam ini bagi memastikan Malaysia meraih tiga mata.
Malaysia akan berdepan tuan rumah Belgium esok dan bertemu Great Britain pada Ahad.
Skuad negara perlu menamatkan cabaran dalam kelompok tiga teratas dalam kejohanan berkenaan untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik Rio de Janeiro, Brazil tahun depan. – BERNAMA