KUALA LUMPUR – Kedudukan CyberSecurity Malaysia (CyberSecurity) di bawah Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi Malaysia (MOSTI) adalah tepat dan relevan kerana agensi itu turut terlibat dalam aspek penguatkuasaan.
CyberSecurity dalam satu kenyataan media berkata, CyberSecurity merupakan organisasi pakar teknikal keselamatan siber negara yang diamanahkan untuk memastikan keselamatan ruang siber negara.
“CyberSecurity diamanahkan memperkukuhkan pertahanan siber negara secara responsif, proaktif dan saksama.
“Berdasarkan jenis perkhidmatan CyberSecurity yang lebih menjurus kepada strategi, operasi dan tektikal berasaskan teknologi, CyberSecurity Malaysia diletakkan di bawah seliaan MOSTI,” kata kenyataan itu hari ini.
Menurut CyberSecurity, agensi itu juga bertanggungjawab membina kesedaran keselamatan siber dalam kalangan masyarakat dan membudayakan sifat positif, berhemah dan beretika ketika melayari dunia siber.
Kata kenyataan itu, CyberSecurity juga turut memberi sokongan serta perkhidmatan teknikal kepada sektor Infrastruktur Maklumat Kritikal Negara (CNII) iaitu sektor pertahanan dan keselamatan, perbankan dan kewangan, maklumat dan komunikasi, tenaga, air, pengangkutan, kesihatan, makanan dan pertanian, perkhidmatan kerajaan dan kecemasan.
Tambah kenyataan itu, kini CyberSecurity membantu penguatkuasa undang-undang dengan membekalkan khidmat latihan, pensijilan, taklimat kesedaran serta pengurusan krisis siber.
“Oleh itu, kedudukan CyberSecurity di bawah MOSTI adalah tepat dan relevan memandangkan MOSTI turut menyokong dan bekerjasama dengan pelbagai pihak terutamanya agensi penguatkuasa undang-undang, perkhidmatan kecemasan dan pihak berkuasa tempatan,” kata kenyataan itu.
CyberSecurity sebelum ini dilaporkan akan diperkasakan sebagai sebuah subsidiari di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) bagi memudahkan kawalan terhadap isu berkaitan jenayah siber.
CyberSecurity turut dicadangkan menjadi satu badan khas yang mempunyai kepupayaan memantau dan mengekang ancaman jenayah siber yang boleh menggugat ketenteraman awam. – Mynewshub.cc

