PENYANYI Siti Nordiana yang sudah 6 tahun bergelar ibu tunggal mendedahkan dirinya terpaksa akur dengan permintaan satu-satu anaknya, Muhammad Rayyan Nakhaie, 7, yang tidak membenarkan dirinya berkahwin lagi.
Menurut Siti Nordiana atau mesra dipanggil Nana, anaknya masih lagi tidak dapat menerima kenyataan jika ada lelaki lain menggantikan tempat arwah bapanya.
“Saya rasa salah satu sebab mengapa saya tidak berkahwin lagi sehingga sekarang adalah sebab anak saya. Dia sendiri tidak boleh terima jika saya berkahwin dan ada lelaki lain yang mendekati saya. Mungkin dia kecil lagi dan banyak perkara yang dia tidak paham lagi.
“Kerana dia selalu rasa bapanya masih ada walapun dia sendiri sudah tahu yang bapanya sudah kembali ke rahmatullah. Jadi sehingga kini saya belum fikir untuk berumahtangga lagi kerana bukan senang untuk seorang lelaki hendak menerima saya bersama anak saya,” ujarnya kepada Murai.
Pada masa yang sama, Nana akui mengalas tanggungjawab sebagai ibu tunggal agak sukar kerana terpaksa membesarkan anaknya sendiri tanpa bantuan lelaki yang bergelar suami dan bapa kepada anaknya. – MYNEWSHUB.CC
Oleh: CARRIE