ALHAMDULILLAH, siapa sangka dalam diam rupa-rupanya penyanyi lagenda rock tanah air, Amy Search telah membuka sekolah tahfiz yang dikenali sebagai Sekolah Al-Quran dan Hadis Al-Bayan yang terletak di Sungai Buloh sejak Disember lalu.
Malah, dengan keberkatan bulan Ramadhan juga, operasi bagi sekolah tahfiz milik pelakon filem Isabella juga akhirnya telah mendapat mendapat pengiktirafan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) baru-baru ini.
Menurut Amy atau nama sebenarnya Suhaimi Abdul Rahman, dia berharap dengan penubuhan sekolah tahfiz dapat melahirkan hafiz yang berkualiti dan mempunyai pekerti yang mulia.
“Sekolah ini adalah cita-cita dan impian saya sejak sekian lama. Sehingga ke hari ini, saya masih berpegang teguh dengan kata-kata ibu walaupun perlu menghadapi pelbagai cabaran dan dugaan termasuklah menjadi mangsa penipuan.
“Sekolah ini akan memainkan peranan sebagai taman ilmu yang bukan saja mengajar tetapi turut menyampaikan sahsiah dan pekerti yang mulia.
“Alhamdulillah, Jais akhirnya mempermudah niat saya untuk terus memperkukuhkan sekolah tahfiz ini,” katanya dalam sidang media Program Kebenaran Pendaftaran Pusat Tahfiz.
Dalam pada itu, Amy Search yang acap kali terpalit dengan pelbagai isu kontroversi yang membabitkan anaknya Nabila Huda meminta agar perkara itu tidak dikaitkan dengan sekolah tahfiz miliknya itu.
Dalam perkembangan lain, Amy dan ahli keluarganya bakal menunaikan umrah dan akan bertolak ke Makkah pada 10 Ramadan terakhir dan pulang ke tanah air pada Aidilfitri kedua. – MYNEWSHUB.CC
Oleh: CARRIE
Sumber: Sinar Harian

