WANG KELIAN – Sebanyak 99 rangka mayat dipercayai mangsa sindiket pemerdagangan manusia telah ditemui dan dikeluarkan setakat hari ini.
Pada 5.25 petang tadi, sebanyak 30 rangka mayat lagi ditemui di dalam 31 liang kubur dan dikeluarkan dari kawasan perkuburan di Bukit Genting Perah melalui kawasan Felcra Lubuk Sireh di sini hari ini.
Ketua Polis Perlis SAC Shafie Ismail yang dihubungi mengesahkan 31 kubur digali dan hanya satu kubur tidak mempunyai mayat dan jumlah kubur yang belum digali dipercayai 18 ke 20 kubur.
“Sekiranya tiada apa-apa halangan, kesemuanya akan siap digali esok,” katanya.
“Saya dimaklumkan hujan lebat tadi pada 3.20 petang dan keadaan (membawa mayat keluar) lebih sukar kerana laluan licin di kawasan bukit,” katanya.
Pada 5 Jun, 14 rangka mayat berkafan ditemui dalam 12 kubur yang digali di hutan simpan Mata Air dan semalam 20 rangka mayat berkafan ditemui di dalam 20 liang kubur di tempat sama.
Sebelum itu 35 mayat dan rangka manusia dikeluarkan dari Bukit Wang Burma. – BERNAMA