ALOR SETAR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kedah merampas 3,600 kilogram barangan kawalan berjadual bernilai RM6,000 dalam serbuan di sebuah pasar raya di sini, semalam.
Ketua Seksyen Penguatkuasanya Ridzuan Mat Isa berkata dalam serbuan yang bermula 5 petang itu, pihaknya telah merampas minyak masak berjumlah 3,500 kilogram serta 50 kilogram tepung gandum dan gula.
Pasar raya itu mula beroperasi lima bulan lepas dan sehingga kini mereka gagal mendapatkan lesen daripada KPDNKK, katanya.
“Rampasan dibuat kerana syarikat ini memiliki barangan kawalan tanpa lesen di bawah Peraturan 3(1) Peraturan Kawalan Bekalan 1974, alasan terlupa untuk memohon lesen tidak boleh diterima,” katanya kepada pemberita di sini.
Ridzuan berkata, syarikat itu boleh didenda tidak melebihi RM2 juta jika disabitkan kesalahan buat kali pertama manakala denda bagi kesalahan kedua pula tidak melebihi RM5 juta.
“Bagi individu pula, jika sabit kesalahan yang pertama boleh didenda RM1 juta dan penjara tidak lebih tiga tahun manakala bagi kesalahan kedua denda tidak melebihi RM3 juta dan penjara tidak lebih lima tahun,” katanya. – BERNAMA