BERA – Tiga remaja dipercayai lemas selepas hilang ketika sedang mandi bersama rakan mereka yang lain di sungai berhampiran Kampung Paya Panjang, dekat Mengkarak, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, mangsa, Amirul Azizi Mahizan, Mohamad Nor Ariff Saidi, kedua-duanya berusia 19 tahun dan Zulpahdi Mohd Ali, 18, dikatakan sedang mandi bersama dua lagi rakan mereka di sungai berkenaan.
Dua rakan mereka yang sempat menyelamat diri memaklumkan kepada penduduk kampung mengenai kejadian itu sebelum membuat laporan polis.
Sepasukan polis dan anggota bomba kemudiannya melancarkan operasi mencari dan menyelamat sebaik menerima laporan.
Usaha menjejak ketiga-tiga remaja itu bagaimanapun menemui jalan buntu sebelum operasi dihentikan kira-kira jam 7.30 malam tadi. Operasi mencari dan menyelamat dimulakan kira-kira jam 7.30 pagi ini dengan bantuan penduduk kampung terbabit. – BH Online