JOHOR BAHARU – Dua beradik maut dalam nahas di Kilometer 156.7 Lebuhraya Utara-Selatan arah ke utara di Ledang malam tadi.
Ketua Polis Daerah Ledang, Supt Mohd Salleh Abd Razak berkata mereka yang terbunuh ialah P. Rajoo, 30, dan adiknya P. Yogarajan, 25, sementara adik ipar Rajoo iaitu M. Ravivarman, 25, cedera parah.
Beliau berkata Rajoo dan Yogarajan tercampak keluar daripada kereta mereka.
Mohd Salleh berkata kereta yang dipandu Rajoo dipercayai hilang kawalan dan terbabas sebelum merempuh pokok yang turut menyebabkan kereta itu remuk.
Ravivarman kini menerima rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar, katanya.
Mangsa dalam perjalanan pulang ke Pandamaran, Klang, Selangor selepas menghadiri majlis keramaian saudara mereka di Johor Baharu. – BERNAMA
https://www.youtube.com/watch?v=osaw_3xW2NI