KUALA LUMPUR – Kerajaan Persekutuan yakin dapat menyerahkan 133 unit Rumah Kekal Baharu (RKB) kepada mangsa-mangsa banjir di seluruh negara sebelum sambutan Aidilfitri bulan depan.
Sehingga kini, kerajaan sedang melaksanakan pembinaan 546 unit RKB di seluruh negara di mana 34 unit telah siap sepenuhnya, menurut kenyataan Unit Pemulihan Pasca Banjir (UPPB), Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini hari ini.
Ia menegaskan bahawa kerajaan komited menunaikan janji untuk membina sejumlah 1,415 unit RKB kepada mangsa-mangsa banjir di seluruh negara.
“Kerajaan prihatin dan mengambil berat akan kepayahan yang dialami mangsa-mangsa banjir yang menginap di khemah-khemah sementara menunggu siap pembinaan RKB terutamanya di jajahan Gua Musang, Kelantan.
“Oleh itu, pemindahan mangsa-mangsa banjir ke Kem Etno-Botani Pusat Latihan Khidmat Negara sedang diuruskan secara berperingkat dan ia dijangka selesai sebelum Ramadan ini,” kata UPPB.
Kenyataan itu adalah bagi menjelaskan dakwaan Penasihat DAP Lim Kit Siang yang mendakwa kononnya kerajaan Persekutuan gagal menunaikan janji untuk membina rumah kepada mangsa-mangsa banjir di Kelantan.
UPPB JPM turut menyangkal dakwaan Lim bahawa kerajaan Persekutuan hanya bersenang-lenang sedangkan mangsa banjir masih tinggal di dalam khemah.
“Dalam usaha mempercepatkan tempoh pembinaan RKB, kerajaan Persekutuan telah mengenalpasti kaedah pembinaan berasaskan sistem binaan berindustri (IBS) dan Modular.
“Ia dijangkakan dapat mempercepatkan tempoh siap pembinaan kepada 30 hari berbanding 75 hari jika dilaksanakan secara konvensional,” kata unit itu.
Menurut UPPB JPM, kerajaan Persekutuan tetap komited untuk menunaikan janji walaupun berdepan pelbagai kekangan termasuk kesukaran mendapatkan tapak-tapak rumah yang sesuai bagi menempatkan 835 mangsa.
Namun, dengan kerjasama kerajaan negeri dan opsyen lain, kerajaan Persekutuan yakin isu seumpama itu dapat diselesaikan dalam kadar segera dan pembinaan RKB dapat diteruskan sepenuhnya dalam tempoh terdekat, kata unit itu. – BERNAMA

