GEORGE TOWN – Rancangan tebus guna tanah seluas 607 hektar yang dikenali sebagai ‘middle bank’ berhampiran muara Sungai Pinang, di sini masih di peringkat permulaan dan penilaian, kata Ketua Menteri Lim Guan Eng.
Beliau berkata kerajaan negeri belum membuat keputusan berhubung perkara itu dan ia bergantung kepada maklum balas Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta Laporan Penilaian Terperinci Terhadap Alam Sekitar (DEIA).
“Tentang middle bank ia hanya pada peringkat permulaan. Kami hanya adakan satu RFP (permintaan bagi cadangan) di mana kami nak tengok sama ada ia boleh berjalan atau tidak. Kalau laporan nyatakan tidak boleh jalan, maka kami tak akan buat. Sekarang belum ada keputusan dibuat.
“Saya berasa terkejut bila BN (Barisan Nasional) tak mahu ambil tanggungjawab bahawa ini semua termasuk dalam rancangan struktur negeri Pulau Pinang yang diluluskan mereka pada 2007. Kami kena ikut rancangan struktur negeri, itu undang-undang. Tapi kami pun tahu ia mesti berdasarkan kelulusan JAS dan DEIA.
“Jangan cakap kami telah luluskan bila masih di peringkat penilaian,” katanya pada sidang media di luar Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.
Semalam, wakil rakyat BN menggesa kerajaan DAP Pulau Pinang melihat semula rancangan tebus guna tanah itu yang dikatakan bakal memusnahkan kawasan penangkapan ikan.
Anggota DUN Teluk Bahang Datuk Shah Headan Ayoob Hussain Shah berkata projek tebus guna tanah bagi memberi laluan kepada Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang itu akan turut memusnahkan tapak pembiakan di kawasan pantai.
Ditanya berapa lama peringkat penilaian itu akan berlangsung, Lim yang juga ADUN Air Putih berkata ia akan mengambil masa kerana memerlukan pertimbangan yang sewajarnya dan kerajaan negeri tidak mahu melaksanakannya dalam keadaan tergesa-gesa. – BERNAMA