IPOH – Polis menumpaskan kumpulan samun dan curi kenderaan yang dikenali sebagai ‘Don Tiger’ berikutan penahanan ketua kumpulan dan seorang anggotanya dalam Ops Cantas Khas pada Isnin lepas.
Kumpulan kongsi gelap itu dipercayai bergiat aktif di sekitar bandar raya ini sejak dua tahun lepas.
Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh Superintenden Anuar Othman berkata berdasarkan maklumat awal dan risikan, kedua-dua suspek berumur 21 dan 27 tahun itu ditahan selepas enam jam menyamun seorang warga emas.
“Dalam kejadian pada kira-kira 11.40 pagi itu, kedua-dua suspek menyamun seorang warga emas berusia 72 tahun termasuk melarikan kereta mewah milik mangsa jenis Nissan Skyline di Taman Mansion di sini.
“Ketika kejadian, mangsa didatangi seorang lelaki sambil mengacukan sepucuk pistol sebaik membuka pintu pagar rumahnya. Mangsa kemudian lari menyelamatkan diri,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh hari ini.
Anuar berkata susulan kejadian itu, kedua-dua suspek ditahan sekitar Tanjung Rambutan bersama-sama kereta yang dicuri dan polis turut menemui dua lagi kenderaan curi iaitu Perodua Myvi dan Toyota Camry, masing-masing dilapor hilang di Sungai Senam dan Kampar, hasil soal siasat ke atas suspek terbabit.
Beliau berkata polis turut merampas sebilah parang, sebilah golok dan empat telefon bimbit pelbagai jenama.
Anuar berkata siasatan awal mendapati ketua kumpulan berumur 27 tahun itu memiliki satu rekod jenayah manakala suspek berumur 21 tahun tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
“Polis masih memburu dua lagi anggota kumpulan berkenaan yang masih bebas,” katanya sambil menambah kedua-dua suspek ditahan reman sehingga Sabtu ini. – BERNAMA