KANGAR – Sumbangan media membantu mempromosikan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) melalui penulisan dan hebahan, diiktiraf dengan penganjuran ‘Malam Mesra Media-UniMAP 2015’ di Hotel Seri Malaysia di sini, malam tadi.
Pelbagai anugerah diberikan sebagai menghargai sumbangan media di negeri itu.
Majlis dihadiri Naib Canselor UniMAP Datuk Prof Dr Kamarudin Hussin dan isteri, Datin Noridah Yangman, Setiausaha Sulit Menteri Pendidikan, Mohd Nizar Sudin serta lebih 100 pengamal media cetak dan elektronik di Perlis.
Pengarah Jabatan Penyiaran Perlis, Munah Badar dipilih memenangi Anugerah Tokoh Media Perlis dan menerima hadiah wang tunai RM1,000 serta sijil penghargaan.
UniMAP turut mengiktiraf sumbangan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Biro Perlis dengan anugerah ‘Liputan Berita Terbanyak sepanjang 2014’.
Wartawan Berita Harian, Nurul Diyanah Mohd Anuar pula menerima anugerah Penulisan Berita Terbaik kategori Bahasa Melayu, kategori Bahasa Inggeris dimenangi wartawan New Straits Time, Ili Shazwani Ihsan dan wartawan Sin Chew Daily, Chong Keat Yin memenangi kategori bahasa Mandarin.
Kategori Penulisan Berita TV terbaik dimenangi kru penyiaran RTM manakala Penulisan Rencana Terbaik dimenangi wartawan Kosmo! Megat Lutfi Rahim dan Muhammad Iqbal Rosli (Utusan Malaysia) meraih anugerah gambar terbaik.
Setiap pemenang menerima hadiah wang tunai RM500 dan sijil penghargaan yang disampaikan Kamarudin.
Terdahulu, dalam ucapannya Kamarudin mennyifatkan hubungan media-UniMAP sebagai kerjasama pintar untuk menyalurkan maklumat penting berkaitan universiti itu demi kepentingan masyarakat dan negara.
“UniMAP berharap penulisan dan publisiti yang diberikan membantu mempromosi serta menjulang univirsiti sehingga tahap antarabangsa dan mendedahkan Malaysia sebagai sebuah negara ilmu,” tambah beliau. – BERNAMA