KOTA KINABALU – Seorang pejalan kaki maut dalam kejadian langgar lari di Kilometer 9.5, Jalan Tuaran, awal pagi ini, menurut polis.
Ketua Polis Bandaraya Kota Kinabalu ACP M. Chandra berkata Aleynazrey Julkifle, 22, yang berasal dari Menggatal, meninggal dunia di tempat kejadian selepas dilanggar sebuah kereta dari arah Tuaran dalam kejadian kira-kira pukul 3 pagi, ketika sedang melintas jalan.
Mangsa tercampak ke bahu jalan dan mengalami kecederaan parah di kepala, katanya.
“Polis meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian langgar lari itu untuk tampil membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Queen Elizabeth untuk bedah siasat, katanya. – BERNAMA

