KUALA LUMPUR – Majlis Syura Ulama menafikan dakwaan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa bekas Mursyidul Am PAS Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pernah bersetuju dengan idea pembentukan kerajaan perpaduan semasa hayatnya.
Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS Datuk Dr. Nik Zawawi Nik Salleh menegaskan bahawa tiada sebarang perbincangan atau keputusan pernah dibuat ke arah perkara itu.
“Majlis Syura Ulamak PAS juga menegaskan tidak pernah wujud sama ada usaha atau pandangan ke arah penggabungan ini oleh mana-mana individu ahli Majlis Syura Ulama PAS seperti Mursyidul Am Datuk Dr. Harun Din, Abdul Hadi dan lain lain ahli jawatankuasa Majlis Syura Ulama PAS.
“Majlis Syura Ulama PAS dengan ini menyeru supaya semua ahli PAS menolak fitnah ini,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Abdul Hadi mendakwa idea kerajaan perpaduan pernah dipersetujui oleh Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang sedang dipenjarakan atas kesalahan meliwat, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Allahyarham Nik Abdul Aziz.
Abdul Hadi dipetik sebagai berkata, idea digagaskan sebenarnya meliputi penyatuan semua parti ke dalam parti tunggal yang membentuk kerajaan selepas berlaku krisis Perlembagaan di Perak.
- MYNEWSHUB.CC