PUTRAJAYA – Mewujudkan lebih banyak usahawan belia terutamanya dalam kalangan golongan muda luar bandar akan menjadi agenda utama Festival Belia Putrajaya tahun ini yang bakal berlangsung mulai 22 hingga 24 Mei ini.
Diterajui oleh Biro Pemuda UMNO Hal Ehwal Luar Bandar (HELB), hab keusahawanan akan ditubuhkan di festival itu, khususnya untuk meningkatkan bidang keusahawanan dan mewujudkan peluang perniagaan.
Pengerusi Biro HELB Pemuda UMNO Anuar Manap berkata hab ini akan memudahkan penglibatan belia dalam perniagaan supaya bidang keusahawanan akan menjadi lebih menarik dan membantu para belia menambah pendapatan mereka.
Pertama kali menyertai Festival tahunan pada 2014, HELB telah menerima sambutan menggalakkan dan mendorong HELB untuk menyertainya sekali lagi dengan menampilkan program-program yang merangkumi seminar, pemadanan perniagaan dan sesi perangkaian, serta perkongsian pengalaman bersama para usahawan yang berjaya.
“HELB akan menganjurkan kembali program Bual Bicara Perniagaan oleh Ikram Al Banjari, usahawan berjaya dan pakar motivasi. Kami telah menerima penyertaan yang luar biasa pada tahun lepas dan tahun ini HELB telah menjemput 13 usahawan untuk berkongsi pengalaman mereka,” kata Anuar.
Ikram, memiliki 10 buah syarikat dengan perniagaan utamanya import eksport pakaian.
Bual Bicara Perniagaan merupakan sesi perbincangan santai antara Ikram, selaku moderator dan usahawan-usahawan yang dijemput berkongsi pengalaman mereka dalam memula dan mengembangkan perniagaan, agar dapat memberi bimbingan dan inspirasi kepada usahawan muda.
Tiga belas usahawan yang mengambil bahagian tahun ini daripada pelbagai sektor perniagaan merangkumi industri makanan, produk kesihatan, pertanian, ternakan, minuman, pakaian hingga ke basikal.
“Salah seorang usahawan yang akan berkongsi pengalaman beliau adalah Lukmanul Hakim, yang menghadiri program Bual Bicara Perniagaan tahun lepas. Pertemuan dengan ahli-ahli perniagaan yang berjaya telah mendorong beliau bersama isteri memulakan perniagaan mereka sendiri dalam produk kesihatan dan kecantikan di Batu Pahat, Johor,” kata Anuar.
Selain daripada itu, Alan Mohd Noor seorang usahawan yang memiliki kedai basikal di Klang, akan berkongsi bagaimana minat beliau berbasikal dan membaiki basikal sekaligus telah menjadikannya sumber pendapatan beliau yang lumayan.
Alan, merupakan antara penjual dan pembekal basikal terbesar di negara ini, juga menyediakan latihan di kelab-kelab basikal dan mengajar kanak-kanak sekolah dengan teknik berbasikal yang betul.
“Para usahawan baru yang menghadiri program ini pada tahun lepas telahpun melangkah jauh dalam bidang bisnes masing-masing.
Bual Bicara Perniagaan anjuran HELB menyediakan platform bagi memahami perniagaan usahawan-usahawan tersebut dan juga mewujudkan rangkaian untuk mengembangkan perniagaan mereka,” kata Anuar.
“Itulah sebabnya ia adalah penting untuk mengambil pendekatan baru dalam keusahawanan, dan HELB memainkan peranan penting dalam melengkapkan belia hari ini dengan kemahiran supaya mereka boleh mewujudkan peluang pekerjaan sendiri – dan setelah berjaya, mereka boleh mewujudkan peluang pekerjaan kepada orang lain.
Golongan muda hari ini perlu menjadi pencipta pekerjaan, dan bukannya hanya mencari kerja,” kata Anuar.
“Kami menjemput para usahawan baru untuk menyertai Bual Bicara Perniagaan anjuran HELB ini.
Pelbagai topik perniagaan akan dibincangkan sepanjang tiga hari mulai 22 hingga 24 Mei ini dan para usahawan berpeluang mendapatkan cara terbaik untuk memperluaskan perniagaan masing-masing,” menurut ketua HELB itu lagi.
Selain itu, HELB juga menjemput agensi-agensi kerajaan untuk membantu para usahawan baru seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA), Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah KETENGAH, Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA) dan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS).
Festival anjuran Kementerian Belia dan Sukan itu berlangsung di Persiaran Perdana, Presint 4, Putrajaya dari 10 pagi hingga 10 malam. – BERNAMA

