KUALA LUMPUR – Asas kepimpinan bermula dengan sikap dan matlamat mulia serta keutamaan dalam hidup, selain sedia menghadapi cabaran dan komitmen, tegas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Paul Low Seng Kuan.
Low, yang memegang portfolio bagi memupuk integriti dan urus tadbir yang baik berkata, asas itu mesti datang dari dalam diri seseorang pemimpin untuk ia melakukan pembaharuan, membina, mengubah dan maju untuk masa depan lebih baik.
“Seorang pemimpin yang baik juga mesti memiliki tahap amanah yang tinggi, dan untuk membina amanah, setiap orang mesti mempunyai integriti, buat apa yang dia kata, bersikap akauntabel, dan jangan menjadi pemimpin yang egoistik,” katanya.
Beliau menyampaikan ucaptamanya mengenai “Kuasa Kepimpinan” bersempena siri Kuliah Kepimpinan Sarjana dan majlis penyampaian anugerah Universiti UCSI di sini hari ini.
Turut hadir naib canselor Universiti UCSI Prof. Datuk Khalid Yusoff dan pengerusinya Datuk Mohd Karim Abdullah Omar.
Sepuluh individu menerima anugerah “Most Impactful Leaders” (Tokoh Paling Berkesan), termasuk Ketua Pegawai Eksekutif dari Chatime Malaysia Bryan Loo, Jazz Tan (Belia Hari Ini), dan Cheryl Yeoh (Malaysian Global Innovation & Creativity Centre).
Anugerah itu sebagai mengiktiraf golongan muda Malaysia yang berjaya mencetuskan impak terhadap komuniti, rantau dan negara menerusi profesion atau sumbangan mereka. – BERNAMA
https://www.youtube.com/watch?v=1UG1UbfF72k