KUALA LUMPUR – Tidak mengapa kalah pilihan raya kerana yang penting Malaysia perlu diselamatkan.
Demikian tegas Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sewaktu menyertai Bicara Minda; Hudud Dari Kaca Mata Hadi di Shah Alam, Selangor semalam.
Menurut Abdul Hadi, bagi PAS menang atau kalah tidak menjadi masalah kerana PAS adalah parti yang berjuang sepanjang masa.
“Tidak menjadi masalah kepada PAS sekiranya kalah di dalam pilihan raya asalkan negara Malaysia berada dalam keadaan selamat,” katanya.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas tentang pihak dalam Pakatan Rakyat terutama DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) ke atas rancangan PAS melaksanakan hudud.
Jelas Abdul Hadi, pimpinan PAS telah buat kesimpulan berhubung isu tersebut dan mendapati pihak dalam Pakatan Rakyat yang membantah hudud kerana takut akan hilang undi.
“PAS memperkenalkan hudud kerana mahu melihat negara ini selamat dari gejala jenayah yang semakin berleluasa.
“Tidak menang dalam pilihan raya pun tak apa janji Malaysia selamat. Kita mahu negara selamat. Selamatkan negara dahulu,” katanya. – MYNEWSHUB.cc

