BUKIT MERTAJAM – Seorang pengundi yang boleh dianggap sebagai bakal pengundi tertua pada pilihan raya kecil (PRK) kawasan Parlimen Permatang Pauh menganggap tiada perubahan yang banyak dilakukan selepas pembangkang mengambil alih kerusi kawasan tersebut.
Othman Daud, 103, dari Kampung Tanah Liat di sini berkata semasa Permatang Pauh di bawah pemerintahan Barisan Nasional (BN) yang diwakili Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku menteri kabinet kerajaan, keadaan di Permatang Pauh sentiasa membangun.
“Tetapi selepas dia jadi wakil rakyat PKR dan kemudian diganti dengan isteri dia, keadaan di sini tidak berubah,” katanya.
Beliau atau lebih mesra dengan panggilan Pak Long berkata walaupun tidak begitu mengenali calon BN, namun beliau yakin Suhaimi Sabudin, 43, mampu membawa semula pembangunan di Permatang Pauh.
Anak sulung daripada 12 beradik ini yang tidak pernah berkahwin berkata beliau banyak mendapat maklumat mengenai PRK Permatang Pauh menerusi siaran radio dan akhbar.
Ditanya mengenai suasana berkempen pada masa sekarang berbanding dahulu, Othman berkata suasana dahulu begitu meriah.
“Semua penduduk dan penyokong berbeza parti dapat duduk bersama-sama di padang untuk mendengar ceramah. Mereka menghormati antara satu sama lain ketika ceramah.
“Berbeza dengan zaman sekarang, banyak yang bertelagah dan bergaduh,†katanya yang mula mengundi pada 1959. – BERNAMA
https://youtu.be/dyzc–oXl2Y