KUALA LUMPUR – Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menganggap Selangor, Pahang dan Perak merupakan pasukan bola sepak yang paling berjaya di Malaysia setakat ini.
Baginda yang juga Presiden Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) menyifatkan pasukan Selangor, Perak dan Terengganu pula mempunyai program pembangunan belia peringkat akar umbi yang terbaik di negara ini.
Menurut laman Facebook Johor Southern Tigers, Tunku Ismail turut berpandangan Selangor, Terengganu dan Johor adalah pasukan yang empunyai fasiliti terbaik di Malaysia.
Manakala, Pahang, Felda dan Terengganu dilihat sebagai pasukan bola sepak yang terkaya di negara ini.
Sementara itu, laman Facebook Johor Southern Tigers melaporkan Tunku Ismail berkenan menerima undangan kelab Borussia Dortmund pada Mei ini.
Undangan itu bagi membincangkan promosi perlawanan persahabatan yang akan berlangsung antara pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Borussia Dortmund (BVB) yang dijadualkan pada 9 Julai nanti.
“Borussia Dortmund akan mengumumkan tarikh perlawanan tersebut setiap kali ada perlawanan membabitkan BVB di Westfalenstadion (Signal Iduna Park Stadium).
“Perlawanan persahabatan ini bakal mendapat liputan wartawan di seluruh dunia dan merupakan hala tuju yang positif buat pembangunan bola sepak Johor,” kata laman Facebook Johor Southern Tigers.

