KOTA KINABALU – Sebanyak 1,055 kes demam denggi dilaporkan di negeri ini sejak Januari hingga 28 Mac lepas, meningkat 729 kes atau 223.6 peratus berbanding 326 kes bagi tempoh sama tahun lalu.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Edward Yong Oui Fah berkata daripada jumlah itu, dua pesakit masing-masing di Kota Kinabalu dan Semporna, telah meninggal dunia akibat demam denggi.
Menjawab soalan Limus Jury (BN-Kuala Penyu), Yong berkata daerah Kota Kinabalu dan Penampang merupakan daerah tertinggi menyumbang kepada peningkatan kes denggi di Sabah dalam tempoh berkenaan.
“Bagi tempoh Januari hingga Mac tahun ini, sebanyak 567 kes dilaporkan di Kota Kinabalu berbanding 104 kes direkodkan tahun lalu manakala di Penampang 156 kes berbanding enam kes tahun lalu,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri di sini, hari ini.
Menurut Yong, Jabatan Kesihatan Negeri sentiasa memantau rapi trend kes berkenaan dengan mengambil langkah proaktif termasuk menjalankan Operasi Mega.
Katanya operasi berkenaan dilaksanakan sejak 1 Mac lalu melibatkan 174 anggota kesihatan yang berusaha mencegah penularan kes denggi dari lokaliti bermasalah. – BERNAMA