ROMPIN – Persiapan bagi pengundian awal pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Rompin esok telah selesai dilakukan bagi memastikan proses itu berjalan lancar, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof.
Beliau berkata dakwat kekal yang akan digunakan pada proses pengundian itu juga telah ‘selamat’ tiba di Rompin pada Isnin lalu, dan dikawal ketat pihak polis bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
“Persediaan di empat pusat mengundi awal telah selesai dilakukan. Jadi kami harap kesemua 545 pengundi awal dan pasangan mereka akan keluar menunaikan tanggungjawab esok,” katanya semasa dihubungi Bernama di sini, hari ini.
Empat pusat pengundian awal pada PRK ini ialah Dewan Sri Ibam, Skuadron 322 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Bukit Ibam, bilik rehat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rompin, bilik maklumat Balai Polis Muadzam Shah dan bilik maklumat Balai Polis Tekek, Pulau Tioman.
Abdul Aziz berkata ejen calon yang bertanding juga akan hadir menyaksikan proses pengundian awal itu manakala pemerhati tempatan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan ahli akademik yang dilantik SPR juga boleh berbuat demikian dengan kebenaran masuk daripada pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan polis.
Sementara itu, Ketua Pusat Media Rompin Supt Abdul Aziz Mahmud dalam satu kenyataan berkata daripada jumlah pengundi awal itu, seramai 285 adalah daripada ATM manakala 260 adalah anggota polis.
“Semua pusat mengundi akan mula dibuka pada pukul 8 pagi, manakala masa pusat mengundi di Skuadron 322 TUDM Bukit Ibam dan IPD Rompin akan ditutup pada pukul 5 petang.
“Dua lagi pusat mengundi iaitu Balai Polis Muadzam Shah dan Balai Polis Tekek, Tioman akan ditutup pada pukul 2 petang,” katanya.
PRK Rompin menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN) Datuk Hasan Arifin dan calon PAS Nazri Ahmad bagi mengisi kekosongan kerusi itu selepas penyandangnya Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis terkorban dalam nahas helikopter di Semenyih, Selangor pada 4 April lepas.
Pada pilihan raya umum ke-13, Jamaluddin menewaskan bekas ketua Muslimat PAS Nuridah Mohd Salleh dengan majoriti 15,114 undi.
Seramai 52,744 pengundi biasa pula akan menunaikan tanggungjawab mereka pada 5 Mei ini. – BERNAMA

