KOTA BAHARU – Mayat seorang lelaki warga Myanmar ditemui terapung di dalam tali air di Kampung Cekok Serendah di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Kota Baharu ACP Rohaimi Md Isa berkata mayat Mohd Fikri Mohd Kasim, 20, ditemui oleh orang awam pada 8.50 pagi di bawah jambatan di tali air berkenaan.
“Mangsa bekerja sebagai buruh dan dilaporkan hilang sejak tiga hari lalu dan ketika ditemui mangsa berpakaian lengkap serta tiada kecederaan di badannya.
“Kami percaya mangsa telah meninggal dunia sejak sehari yang lepas dan kita sedang menunggu laporan bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematiannya,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Baharu di sini, hari ini.
Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) di sini, untuk bedah siasat.
Beliau berkata orang ramai yang mempunyai maklumat dan pernah berhubung dengan mangsa beberapa hari sebelum kejadian diminta tampil untuk membantu siasatan. – BERNAMA

