MELAKA – Jabatan Imigresen Melaka menahan seorang lelaki warganegara Pakistan yang disyaki dalang sindiket pemalsuan pasport dan permit kerja di sebuah rumah di Danau Kota, Gombak, Selangor awal hari ini.
Pengarahnya, Mahpof Mahmood berkata, penahanan suspek tersebut susulan hasil siasatan terhadap tiga lelaki warga Pakistan yang ditahan di sekitar Melaka pada Rabu lepas dan semalam.
“Pada Rabu (1 April) kami menahan dua orang lelaki masing-masing berusia 33 dan 45 tahun di sebuah premis di Taman Lagenda di sini dan hasil pemeriksaan mendapati seorang daripada mereka tinggal lebih masa manakala seorang lagi tiada dokumen pengenalan diri dan sedang menunggu pasport baharu daripada suspek dengan bayaran RM5,000.
“Kami berjaya menahan seorang lagi lelaki berusia 43 tahun yang merupakan pekerja kepada suspek di Tol Ayer Keroh semalam sebelum kami ke rumah suspek (di Gombak),” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Mahpof berkata, dalam serbuan kira-kira 2 pagi di rumah suspek, pihaknya menjumpai 22 keping pasport, i-Kad, satu rangka pasport warganegara Myanmar serta fail berisi pelbagai dokumen termasuk kertas contoh tandatangan. – BERNAMA
https://www.youtube.com/watch?v=vkUXJGQ7Y_s

