SHAH ALAM – Rakyat Malaysia perlu menguasai ilmu kepenggunaan untuk mengetahui hak dan kuasa mereka sebagai pembeli bagi mengelak ditipu pihak tidak bertanggungjawab, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan.
Beliau berkata ilmu kepenggunaan penting bagi melahirkan pengguna bijak dalam memastikan harga barangan dan perkhidmatan yang dikenakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) terus terkawal.
“Mereka (pengguna) kena tahu dan sedar bahawa yang menentukan harga barangan adalah pengguna, bukannya peniaga. Jangan bagi kuasa ‘raja’ kepada peniaga,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program budaya ilmu penerangan GST dan isu-isu semasa di Universiti Teknologi Mara di sini hari ini.
Ahmad berkata pengguna yang bijak pastinya akan menggunakan kuasa ‘3M’ iaitu memilih, memboikot dan melapor sekiranya terdapat peniaga menjual barangan pada harga tidak berpatutan susulan pelaksanaan GST bermula 1 April lepas. – BERNAMA