SUSULAN protes sekumpulan penduduk Taman Medan, Petaling Jaya yang menggesa salib di sebuah gereja diturunkan semalam, banyak kritikan telah diterima daripada pihak yang tidak bersetuju dengan tindakan itu termasuk mengaitkannya dengan akta hasutan.
Ketua Wanita UMNO Petaling Jaya Selatan bagaimanapun tampil mempertahankan tindakan tersebut.
Munaliza Hamzah berkata, tindakan protes itu tidak boleh dianggap sebagai menghasut kerana tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku.
[TERDAHULU: Gereja Akur Bantahan Penduduk, Turunkan Salib]

“Walaupun kami pergi ke sana untuk berdemonstrasi, tiada seorangpun yang mati, tiada seorangpun cedera dan tiada seorangpun yang marah selepas itu,” katanya dilaporkan portal Malaysiakini.
Munaliza menambah, demontrasi oleh pihak yang membantah pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) lebih bersifat menghasut jika dibandingkan dengan protes dilakukan penduduk sekitar.
“Kami tidak lakukan apa-apa perkara menghasut. Kami cuma minta tolong gereja untuk turunkan salib.
“Kami juga cuma hantar tiga wakil untuk dialog (selepas demonstrasi) dengan kehadiran Polis Cawangan Khas.
“Kami bersopan dengan mereka dan mereka juga begitu.”
Hasil perbincangan yang berjalan selama 10 minit, seorang wakil gereja bersetuju untuk menurunkan salib yang dilekatkan di dinding bangunan.
Lantas, ia menunjukkan bahawa pihak gereja bertoleransi dan menghormati kehendak penduduk di situ.
“Tidakkah meminta orang turun ke jalan untuk membantah GST itu satu perkara menghasut?” soal Munaliza.
Dalam pada itu Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar menyokong kenyataan Munaliza apabila menyifatkan protes yang berlaku tiada sebarang unsur hasutan kerana ia hanya melibatkan masyarakat setempat.
“Dalam isu di Petaling Jaya, kami tidak melihat apa-apa bentuk menghasut.
“Ini bukan isu menyentuh agama atau agama Kristian. Ini cuma bantahan masyarakat di sana tentang kedudukan gereja itu.
“Salib diturunkan atas permintaan masyarakat dan disetujui oleh paderi sendiri. Tidak ada kekerasan digunakan semasa menurunkan salib itu,” ujar beliau.
Isu salib di kawasan terbabit menjadi bualan hangat di media sosial apabila ada pengguna mempertikaikan kewajaran tindakan penduduk yang dianggap tidak menghormati penganut agama lain.
Bagi segelintir yang lain pula, ia merupakan keputusan wajar kerana rata-rata penduduk kawasan tersebut Melayu beragama Islam.
– MYNEWSHUB.CC
Rakaman Video Suasana Demonstrasi Penduduk Menggesa Salib Diturunkan Di Taman Medan, Petaling Jaya



