KUALA LUMPUR – Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) menjalin kerjasama untuk membolehkan warga PDRM memiliki rumah sendiri ketika masih dalam perkhidmatan.
Beliau berkata PDRM prihatin terhadap kesulitan dihadapi semua peringkat warganya yang tidak mampu membeli rumah berharga tinggi atas faktor ekonomi.
Katanya misi kerjasama itu adalah untuk memberi peluang kepada warga PDRM yang berkelayakan untuk tidak ketinggalan memiliki rumah PR1MA yang berkualiti pada harga 20 peratus lebih murah daripada harga pasaran.
“Kajian mendapati sebahagian daripada warga PDRM tidak memiliki rumah sendiri sepanjang tempoh perkhidmatan mereka dalam pasukan. Dapatan ini agak mengejutkan dan perlu dipandang serius.
“Hasil semakan dengan pihak PR1MA, hanya 6,337 orang pegawai dan anggota PDRM yang telah mendaftar di bawah PR1MA. Jumlah ini adalah sangat kecil berbanding jumlah keanggotaan PDRM keseluruhannya,” katanya ketika berucap pada Pelancaran Program Pendaftaran PR1MA bersama warga PDRM di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini, hari ini. Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif PR1MA Datuk Mutalib Alias.
Khalid juga berkata pihaknya akan menjalankan kerjasama dengan PR1MA berhubung perolehan tanah melalui koperasi polis bagi pembangunan projek PR1MA dan ia akan memberi keutamaan kepada warga PDRM.
Beliau berkata terdapat beberapa cadangan diusulkan bagi mencapai matlamat untuk memastikan warga PDRM memiliki rumah sendiri sebelum tamat tempoh perkhidmatan atau bersara, antaranya ialah memastikan harga rumah dapat dikawal oleh kerajaan dan semakan kadar gaji mengikut prestasi.
“Cadangan tersebut bertepatan dengan dasar penempatan sebelum bersara dan pelaksanaannya adalah menyeluruh bagi menggalakkan pegawai dan anggota polis membeli rumah semasa dalam tempoh perkhidmatan,” katanya.
Mutalib berkata warga PDRM berpendapatan isi rumah individu atau bergabung antara RM2,500 dan RM10,000 sebulan disarankan membuat permohonan untuk memiliki rumah PR1MA.
“Kami amat menghargai kerjasama yang diberikan oleh pihak PDRM dan berharap untuk bekerjasama dengan badan beruniform serta organisasi kerajaan yang lain dalam misi menggalakkan pendaftaran dalam kalangan kakitangan mereka,” katanya.
Berhubung kes penipuan membabitkan projek rumah PR1MA, Mutalib berkata PR1MA tidak pernah melantik mana-mana ejen berhubung projek perumahan PR1MA termasuk mendapatkan pembeli. – BERNAMA
