KOTA KINABALU – Sebanyak lima buah kereta klon sudah diserahkan kapada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sehingga semalam, kata Ketua Pengarah JPJ Datuk Seri Ismail Ahmad.
Beliau berkata kereta tersebut termasuk jenis BMW, Lexus, Mercedes Benz dan Odyssey diterima dari sekitar Lembah Klang.
“Dalam hal ini, kita minta orang ramai yang sedar kereta mereka adalah klon supaya menyerahkan kenderaan mereka agar tidak dikenakan penalti yang tinggi,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari JPJ peringkat negeri Sabah, di sini hari ini.
Ismail berkata sesiapa yang tidak menyerahkan kenderaan klon mereka sehingga dapat dikesan oleh pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM atau JPJ akan berdepan penalti yang tinggi di bawah Akta SPRM 2009 dan Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Menurutnya setakat ini sebanyak 153 kereta klon dari Terengganu dan 14 dari Negeri Sembilan telah disita dalam operasi yang dijalankan bersama SPRM pada minggu lalu.
Mengenai pembabitan anggota JPJ dalam kes kenderaan klon, Ismail berkata setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang maklumat mengenai aktiviti penyeludupan kenderaan klon ke Malaysia.
Katanya aktiviti itu melibatkan sindiket klon kereta yang memalsukan dokumen untuk menipu orang ramai kerana ia tidak berdaftar dengan JPJ.
“Kita serahkan kepada SPRM untuk membuat penyiasatan lanjut. Tangkapan telah pun dibuat dan sindiket ini akan terbongkar keseluruhannya tetapi akan memakan masa,” katanya.
Dalam pada itu, Ismail berkata sambutan Hari JPJ tahun ini mengambil beberapa pendekatan untuk mendekati orang ramai termasuk melalui skuad muda 1JPJ, pelajar sekolah melalui penubuhan Kadet JPJ bagi membantu menyelesaikan isu-isu keselamatan di jalan raya.
“Pendekatan kita adalah secara menyeluruh iaitu memenangi hati orang ramai, masuk ke sekolah untuk memenangi hati pelajar, guru-guru dan komuniti supaya dekat dengan JPJ untuk bersama-sama menjaga keselamatan di jalan raya,” katanya.
Sementara itu, Pengarah JPJ Sabah Mohd Shuhaili Mohd Taufek menasihatkan pemilik kenderaan yang bertukar alamat supaya memaklumkannya kepada pihak JPJ bagi memudahkan urusan surat menyurat.
Beliau berkata sejak tahun 2005 hingga kini kira-kira RM20,000 saman tertunggak adalah disebabkan alamat pemilik kenderaan yang tidak dikemas kini. – BERNAMA

