KELANTAN mempertaruhkan gandingan pemain import baharu menjelang pertemuan menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi Liga Super di Stadium Larkin, Johor, malam esok.
Jurulatih Kelantan, Mohd Azraai Khor Abdullah berkata dua pemain baharu The Red Warriors (TRW) iaitu pemain kebangsaan Nigeria bawah 23 tahun, Austin Amutu dan Gilmar Jose Dis Santos Filho dari Brazil diharap dapat memberi impak besar di bahagian serangan.
“Kita akan ke sana dengan sedikit rombakan, mereka (Amutu dan Dos Santos Filho) menunjukkan semangat yang tinggi untuk membantu Kelantan meskipun baharu beberapa hari berlatih bersama pasukan ini.
“Kedua-dua pemain ini tampak serasi dengan corak permainan yang diterapkan dalam pasukan dan sudah pasti saya berharap aksi mantap dapat ditunjukkan mereka pada perlawanan itu,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Semalam, Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa dilaporkan berkata kedua-dua pemain itu telah menerima Sijil Perpindahan Antarabangsa (ITC) dan akan diturunkan pada perlawanan berkenaan.
Mohd Azraai Khor berkata, keputusan seri pada perlawanan berkenaan sudah memadai memandangkan TRW masih gagal mendapatkan rentak kemenangan dalam beberapa perlawanan sebelum ini.
“Kita harap dapat curi sekurang-kurangnya satu mata dan sudah pastinya akan cuba mengelak daripada kalah lagi, kita akan bermain mati-matian.
“Saya mahu semua pemain lebih fokus dan menjalankan tugas masing-masing, ketiadaan Erwin Carrillo juga sedikit merencatkan persiapan pasukan kita namun saya percaya kita mampu lakukan yang terbaik,” katanya.
Katanya, barisan pertahanan juga perlu berhati-hati dengan barisan serangan JDT yang cukup berbisa dan hanya tewas sekali dalam saingan Liga Super musim ini.
Selepas tujuh perlawanan Liga Super musim ini, Kelantan hanya menjaringkan lima gol dan kini berada di tangga ke-10 dengan tujuh mata, selepas hanya mencatat dua kemenangan dan satu seri. – BERNAMA

