SIBU – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan mengadakan 10 siri program Satu Komuniti Satu JPJ (SKSJ) di Sarawak tahun ini bagi membantu penduduk luar bandar memperoleh lesen memandu kelas B2.
Ketua pengarahnya, Datuk Seri Ismail Ahmad berkata, pertambahan itu adalah berikutan permintaan yang semakin meningkat dalam kalangan penduduk di kawasan luar bandar dan pedalaman di negeri ini.
Sebelum ini, hanya lima siri program itu diadakan di Sarawak setiap tahun berbanding tiga di negeri-negeri di Semenanjung.
“Dengan pertambahan ini, ia akan dapat memberi manfaat kepada 3,000 hingga 5,000 peserta untuk mendapatkan lesen memandu kelas B2 pada tahun ini,” katanya dalam sidang media selepas menutup program SKSJ Bawang Assan di sini hari ini.
Siri pertama program SKSJ di Sarawak tahun ini melibatkan 300 penyertaan.
Turut hadir Pengarah JPJ Sarawak, Ibrahim Othman. – BERNAMA

