KUALA LUMPUR – Adakah pelaksanaan undang-undang hudud akan menyebabkan aspek ekonomi, kebajikan dan sistem pendidikan terjejas?
Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa menujukan soalan itu kepada Menteri Besar Selangor yang juga Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamed Azmin Ali.
“Mengikut Azmin,PKR tolak hudud kerana mahu tumpu kepada pemerkasaan ekonomi, kebajikan dan sistem pendidikan.
“Adakah jika kita laksana hudud bererti perkara yang beliau sebut itu tidak dapat kita laksanakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohamed Azmin semalam menyelar Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang kerana mendakwa pemimpin Pakatan Rakyat yang tidak menyokong hudud lebih mementingkan kemenangan pilihan raya berbanding keselamatan negara.
Mohamed Azmin dipetik berkata, pemerkasaan ekonomi, kebajikan dan sistem pendidikan adalah isu keselamatan sebenar rakyat Malaysia dan ia diperjelaskan dalam dasar bersama Pakatan Rakyat. – mynewshub.cc

