KUALA LUMPUR – Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna (FOMCA) menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas ke atas mereka yang menggunakan kenderaan klon di jalan raya.
Presidennya, Datuk Dr. N.Marimuthu berkata, kewujudan kereta diklon di atas jalan raya kerana ia boleh mengakibatkan banyak isu dan risiko jalan raya.
“Pihak berkuasa perlu mempertingkatkan pemeriksaan dan operasi demi keselamatan orang ramai. Kita tidak mahu pihak yang tidak bersalah menanggung kesan akibat perbuatan pihak yang membeli kenderaan murah tanpa dokumen yang sah.
“FOMCA mahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan JPJ mengenakan tindakan tegas ke atas mereka yang menggunakan kenderaan klon,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Marimuthu berkata, selain menyelamatkan pendapatan kerajaan dalam bentuk cukai, tindakan bersepadu JPJ dan SPRM juga mampu mengelakkan kerugian di pihak pemilik kenderaan dan pengguna jalan raya.
“JPJ harus meningkatkan penguatkusaan undang-undang kerana penggunaan kereta klon bahaya kerana tidak dilindungi mana-mana insurans kerana dokumentasi kenderaan adalah palsu,” katanya. – mynewshub.cc

