ROMPIN – Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pihaknya akan mengadakan perbincangan terperinci dengan Lembaga Pertanian Pemasaran Persekutuan (FAMA) dan Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) dalam penetapan skim harga lantai untuk produk pertanian dan perikanan.
Beliau berkata, penetapan harga lantai itu perlu diadakan bagi mengelakkan FAMA dan Nekmat tidak mengalami kerugian apabila skim itu dilaksanakan kelak.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan ‘Program Road To Hari Peladang, Penternak Dan Nelayan 2015 Peringkat Negeri Pahang” di sini hari ini.
Dalam majlis itu, Ismail Sabri turut menyampaikan bantuan tabung bencana berjumlah RM290,306 kepada 249 nelayan, petani dan peladang yang terjejas dalam bencana banjir akhir tahun lalu.
Beliau berkata harga lantai itu akan ditentukan dengan mengambil kira semua faktor termasuk kos pengeluaran.
Kementerian pada bulan lepas, mengumumkan tentang pelaksanaan skim harga lantai untuk produk pertanian dan perikanan bermula tahun depan, dalam usaha kerajaan membantu petani dan nelayan apabila menghadapi musim lambakan hasil.
Kesemua hasil pertanian dan perikanan berkenaan akan diproses oleh agensi berkenaan menjadi produk baharu yang mempunyai nilai tambah sebelum dijual di pasaran dengan harga yang lebih tinggi.
Antara produk baharu yang boleh dihasilkan daripada lambakan hasil termasuk pes durian, buah dalam tin dan ikan sejuk beku. – BERNAMA

