KUANTAN – “Saya memberanikan diri menyelamatkan suami, ibu mertua dan seorang anak saudara yang masih kecil dengan membawa mereka masuk ke dalam rumah selepas keadaan mula tidak terkawal.
“Manakala bapa mertua, abang dan adik ipar yang cuba mempertahankan diri daripada serangan kumpulan terbabit mengalami kecederaan parah akibat dipukul dan ditetak menggunakan senjata tajam,†kata isteri kepada salah seorang mangsa kejadian empat beranak diserang sekumpulan lelaki di Kampung Baru Seri Pandan, Panching dekat sini, kelmarin.
Wanita berusia dalam lingkungan 30-an itu berkata, kumpulan terbabit yang lebih daripada 10 orang seolah-olah nekad dengan tindakan mereka tanpa memikirkan serangan yang turut melibatkan senjata bahaya itu boleh meragut nyawa.
“Kami mengunci diri di dalam rumah kerana ketakutan manakala bapa mertua, 50-an, abang, 30-an dan adik ipar, 20-an terus mempertahankan diri daripada serangan kumpulan terbabit.
“Kejadian selama kira-kira setengah jam itu mengakibatkan bapa mertua dan abang ipar mengalami kecederaan parah manakala adik ipar hanya mengalami kecederaan ringan sebelum kesemuanya dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk menerima rawatan.
Menceritakan kembali kejadian yang menimbulkan trauma kepada mereka sekeluarga, dia berkata, suaminya berusia 31 tahun berselisih faham dengan salah seorang suspek hanya kerana terpasang lampu tinggi ketika memandu lorinya dalam perjalanan pulang ke rumah, malam Jumaat lalu.
“Lelaki itu tidak berpuas hati lalu dia bersama beberapa rakan menahan suami saya lalu membelasahnya hingga cedera di bahagian telinga dan beberapa bahagian anggota badan.
“Kejadian tidak berakhir di situ, sebaliknya berlarutan hingga ke petang kelmarin apabila beberapa orang lelaki datang ke rumah kononnya untuk berbincang bagi menyelesaikan masalah tersebut,†katanya.
Dia berkata, perbincangan itu bagaimanapun berakhir dengan pertengkaran sebelum kumpulan terbabit mula hilang pertimbangan lalu menyerang suami, bapa mertua dan abang dan adik iparnya.
“Tidak lama kemudian datang lagi beberapa lelaki menaiki kereta dan motosikal dan ada di antara mereka bersenjatakan parang panjang masuk campur dan terus menyerang ahli keluarga saya.
“Saya nekad menyelamatkan suami memandangkan dia mengalami kecederaan akibat kejadian terdahulu, ibu mertua dan anak saudara manakala abang dan adik ipar serta bapa mertua cuba melarikan diri namun mereka terus dikejar dan dibelasah bertubi-tubi,†katanya.
Menurutnya, melihat keadaan bapa mertua dan abang iparnya cedera parah dan berlumuran darah, suspek kemudiannya beredar memandangkan ketika itu jiran-jiran mula datang selepas menyedari kejadian.
“Akibat kejadian ini, kami dalam ketakutan dan bimbang berada di rumah kerana khuatir kumpulan terbabit menyerang semula†katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh ketika dihubungi berkata, pihaknya melakukan beberapa tangkapan individu yang disyaki terlibat dalam kejadian tersebut sejurus menerima maklumat.
Menurutnya, siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti suspek terlibat dan motif kejadian.
“Pihak polis menyeru kepada individu yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam pergaduhan itu termasuk orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat upaya tampil membantu siasatan polis.
“Kita masih menjalankan siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh,†katanya. – Sinar Harian Online

