Beaufort – Seorang kanak-kanak lelaki maut manakala tujuh cedera selepas tiga rumah dihempap pokok di Kampung Bakalau, dekat sini, pagi tadi.
Dalam kejadian 6.18 pagi itu, kanak-kanak berusia lima tahun itu dikejarkan ke Hospital Beaufort untuk rawatan lanjut sebelum meninggal dunia ketika menerima rawatan.
Pengarah Hospital Beaufort, Dr K Sutharsan, ketika dihubungi berkata, kanak-kanak berkenaan meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala.
“Mangsa yang dalam keadaan cedera parah dan tidak sedarkan diri akibat kecederaan teruk di kepala,” katanya.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Beaufort, Runzee Abd Thani berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian ini pada 6.22 pagi sebelum mengarahkan dua jentera bersama 15 anggota ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba, mangsa yang parah sudah dihantar ke hospital dan bomba melakukan operasi mengalihkan batang pokok di kawasan berkenaan.
“Tiga rumah dihempap pokok dan satu rumah mengalami kerosakan teruk,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, operasi masih dilakukan dengan bantuan anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Beaufort. – myMetro Online

