KUCHING – Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) dari Daerah Maritim Kuching mematahkan percubaan untuk menyeludup kayu balak berhampiran Tanjung Muara Tebas dekat sini pada 3.30 petang Sabtu lepas.
Kayu balak itu dengan nilai pasaran dianggarkan RM164,309 itu dimuatkan dalam sebuah kapal yang dalam pelayaran dari Tanjung Manis dalam Bahagian Sarikei.
Menurut Pengarah Operasi Daerah Maritim Kuching, Komander Shahref Steve Mcqueen Abdullah, sebaik sahaja memintas kapal tersebut, pegawai APMM menemukan enam kru tetapi tekongnya tidak ada atas kapal tersebut.
“Selain membawa kayu balak yang disyaki daripada sumber yang haram, kami mengambil keputusan untuk menahan kapal itu atas kesalahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 Kaedah 7(1)(c) Kaedah-kaedah perkapalan 1999 kerana belayar tanpa tekong.
“Tekong harus berada atas kapal sepanjang masa supaya tidak membahayakan pengguna maritim yang lain,” kata beliau.
Shahref berkata kru kapal itu ditahan untuk membantu siasatan kes sementara kapal tersebut ditunda ke Jeti Kompleks Maritim Tun Abang Salahuddin di sini.
Beliau berkata kayu balak itu kemudian diserahkan kepada Jabatan Perhutanan Sarawak untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, beliau berkata APMM Sarawak akan memberi kerjasama penuh kepada kerajaan negeri dalam usaha untuk memerangi habis-habisan pembalakan haram.
Beliau juga menasihatkan semua pemilik kapal supaya mematuhi undang-undang yang menghendaki tekong berada atas kapal sepanjang masa semasa belayar. – BERNAMA
https://youtu.be/00zInU8ciS4

