KOTA KINABALU – Sebanyak 339 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam operasi bersepadu yang diselaraskan Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabah, selama dua hari yang berakhir petang semalam.
Setiausaha MKN Sabah Rodzi Md Saat berkata kesemua PATI yang berumur antara satu tahun hingga 59 tahun itu merupakan sebahagian daripada 842 orang yang diperiksa di sekitar Kota Kinabalu dan Penampang.
“Selepas siasatan awal, kami menahan 339 orang dan mereka ditahan reman di bawah Akta dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) atas pelbagai kesalahan.
Penahanan mereka itu dibuat dalam 13 serbuan yang dilakukan di sembilan rumah kongsi pekerja, tiga tapak penempatan setinggan yang dipercayai dihuni oleh PATI dan satu kawasan umum,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Menurutnya, majoriti PATI yang ditahan itu membabitkan warga Filipina seramai 309 orang dan selebihnya, masing-masing 29 orang warga Indonesia serta seorang Pakistan.
Operasi yang berakhir 6 petang itu melibatkan 134 pegawai dan anggota penguat kuasa dari lapan agensi termasuk Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Imigresen, Polis DiRaja Malaysia, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia. – BERNAMA