KOTA KINABALU – Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani merancang mewujudkan 10 lagi Pasar Tani Kekal di Sabah dalam Rancangan Malaysia Kesebelas (2016-2020) dengan kos dianggarkan RM20 juta.
Menterinya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata 10 pasar tani kekal berkenaan merupakan tambahan kepada satu Pasar Tani Kekal yang beroperasi di Keningau dan Pasar Tani Kekal Kota Kinabalu di Asia City yang akan dibina tidak lama lagi.
“10 Pasar Tani Kekal berkenaan antaranya akan dibina di Putatan, Ranau, Beaufort, Tamparuli, Tuaran, Sipitang, Tawau, Sandakan dan Menggatal,” katanya kepada pemberita selepas melawat tapak projek Pasar Tani di Asia City di sini hari ini. Turut hadir ialah Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan negeri Datuk Seri Yahya Hussin.
Ismail Sabri berkata pihak kementerian akan berbincang dengan kerajaan negeri Sabah berhubung rancangan berkenaan terutama berkaitan lokasi sesuai bagi menempatkan Pasar Tani Kekal berkenaan.
Berhubung pembinaan Pasar Tani Kekal di Asia City, beliau berkata kosnya dianggarkan RM2 juta dan akan dilengkapi bumbung untuk memberi keselesaan kepada peniaga dan pelanggan.
Katanya Pasar Tani Kekal berkenaan akan dibina sebaik sahaja semua urusan dengan pihak berkuasa tempatan termasuk pihak Dewan Bandaraya Kota Kinabalu selesai.
Berhubung bilangan Pasar Tani di Sabah setakat ini, Ismail Sabri berkata terdapat 39 pasar tani dengan 850 anggota dan merekodkan nilai jualan berjumlah RM11 juta sepanjang tahun 2014.
Nilai jualan pada tahun ini disasarkan RM12 juta, katanya.
“Di Sabah ada banyak Tamu (pasar mingguan). Kami boleh bincang untuk membuat penyelarasan antara Pasar Tani dan Tamu supaya peniaga di Tamu juga boleh memperoleh pinjaman dengan lebih mudah (seperti peniaga Pasar Tani),” katanya.
Berkenaan Agro Bazar Rakyat, Ismail Sabri berkata ia telah dilancarkan di Kuantan, Pahang dan kementerian akan mengenal pasti kawasan yang sesuai untuk mewujudkan kemudahan perniagaan serupa di Sabah dan Sarawak. – BERNAMA