UMUM mengenali Sony VAIO adalah jenama untuk komputer riba, namun pada awal tahun lepas, Sony telah mengembangkan jenama tersebut kepada divisyen lain.
Ia secara langsung membuatkan VAIO tidak lagi menggunakan awalan jenama Sony, malah operasi dijalankan secara berasingan.
Pada tahun lepas juga, VAIO hadir dengan komputer riba baru tetapi lebih memfokuskan kepada pasaran Jepun sahaja.
Kini selang setahun, mereka mula memasuki arena telefon pintar pula dengan memperkenalkan produk pertama yang dinamakan VAIO Phone.
VAIO Phone ini akan dijual di Jepun terlebih dahulu, sama seperti komputer riba mereka.
Telefon pintar ini membawakan skrin bersaiz 5-inci, kamera belakang 13-megapixel, cip pemprosesan empat-teras 1.2Ghz dan memori 2GB RAM.
Telefon pintar ini dijana menggunakan Android 5.0 Lollipop dan tidak membawakan sebarang penambahan pada antaramuka.
Boleh dikatakan tiada sebarang ciri-ciri khusus yang menarik hadir pada telefon pintar ini, mungkin kerana ianya merupakan percubaan awal pihak VAIO menyertai arena telefon pintar.
VAIO Phone akan dipasarkan di Jepun pada harga 51,000 yen (RM1,550), harga yang dijangka membuatkan ia agak sukar untuk laris dijual jika dibandingkan dengan pelbagai jenama pesaing lain.
-MYNEWSHUB.CC
Sumber: engadjet
