SEKEPING surat daripada Jabatan Mufti Perlis berkenaan penganjuran forum agama yang tersebar kini menjadi viral dan hangat diperkatakan.

Surat yang mengejutkan ramai tersebut, menyatakan pendirian jabatan itu yang tidak bersetuju terhadap jemputan kepada Ustaz Kazim bagi menjadi salah satu panel dalam program sempena Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Raja Perlis yang ke-69.
Surat ditandatangani Mufti Perlis,  Dr. Mohd Asri Zainul Abdidin atau lebih dikenali sebagai Dr. Maza itu menyatakan pendirian tersebut disebabkan Ustaz Kazim didakwa sering terlibat dengan pembacaan riwayat-riwayat palsu.
Hal ini sekaligus, mengundang pelbagai reaksi dan persoalan daripada banyak pihak.
Susulan itu menerusi laman Facebook, Dr. Maza menjelaskan bahawa itu merupakan surat rasmi dalaman yang telah dipanjangkan individu tertentu kepada pihak pengurusan forum berkenaan dan dianggap sulit.
Bagaimanapun apabila surat ini tersebar beliau terpaksa tampil dengan penjelasan.
Menurut Dr Maza, tindakan ini selaras dengan kehendak ilmuan dan masyarakat sendiri yang mahu memastikan kesahihan riwayat.
Turut disertakan, salinan buku tulisan Ustaz Kazim yang mengungkap kisah Nabi Muhammad SAW melakukan kenduri paling mahal dengan menyediakan roti jala dicelup dengan kuah kari.

Bagaimanapun terang beliau lanjut, setakat ini Ustaz Kazim tidak pernah dihalang daripada mengadakan ceramah di Perlis.
– MYNEWSHUB.CC
https://www.youtube.com/watch?v=m7keL5qXl2U
