DENGAN sekali lafaz pelakon, pengacara dan pengamal aktiviti kecergasan, Sharifah Sakinah sah bergelar isteri kepada Aliff Adha, sebentar tadi dalam satu majlis perkahwinan berkonsepkan dalam taman di kawasan taman Hotel Shangri-La, Putrajaya.
Pasangan sama padan, sama cantik itu dinikahkan oleh bapa Sakinah sendiri iaitu Syed Abu Bakar Syed Abdul Rahman dengan disaksikan Imam Masjid Wilayah Putrajaya, Ustaz Fairuz Suhari.
Sakinah menerima tujuh dulang hantaran dan membalas kembali sembilan dulang kepada Aliff.
Menariknya, Sakinah hanya menerima tujuh pasang kasut jenama Adidas koleksi terbaharu dan Aliff pula diberi sebentuk cincin, senaskhah al-Quran, tali pinggang, seutas jam tangan dan sepasang kasut bola.
Sakinah, adik kepada Sharifah Shahira dan Lynn Al-Khaired yang anggun mengenakan busana rekaan Nurita Harith dan disolek jurusolek terkenal Tiar Zainal itu, bagaimanapun memilih untuk merahsiakan jumlah wang hantaran dan mas kahwin diterimanya.
“Alhamdulillah, segala-galanya berjalan lancar. Saya berasa gembira kerana akhirnya bergelar isteri kepada Aliff, lebih-lebih lagi apabila ayah saya sendiri yang menikahkan saya,” katanya yang memberitahu masih belum memutuskan destinasi berbulan madu.
Aliff turut memanjat kesyukuran kerana segala-galanya berjalan seadanya seperti dirancang.
“Terima kasih kepada keluarga dan keluarga mertua yang hadir pada petang ini,” ujarnya ringkas.
Malam ini, pasangan mempelai itu akan diraikan dalam satu majlis makan malam di lokasi yang sama bertemakan ala minimalis Inggeris.
Pasangan ini akan diraikan pada 4 April depan di sebuah dewan di Kementerian Pertahanan (MINDEF).
Sakinah menjalinkan percintaan dengan Aliff sejak setahun lalu sebelum bertunang pada 25 Oktober tahun lepas.
Turut sama memeriahkan majlis perkahwinan Sakinah dan Aliff ialah teman artis antaranya Marsha Milan, Anzalna Nasir, Elfira Loy, Siti Saleha, Sherry Al Hadad, Nabila Huda, Nad Zainal dan Tasha Shila.
– Berita Harian Online


