DENPASAR – Sambutan perayaan terbesar penganut Hindu Bali iaitu Hari Raya Nyepi sepanjang hari pada Sabtu bakal menyaksikan syarikat bekalan elektrik milik pemerintah Indonesia dapat berjimat jutaan ringgit hasil pengurangan bekalan tenaga.
Perkara itu didedahkan pegawai perhubungan awam Perusahaan Listrik Negara (PLN) wilayah Bali, Wayan Redika pada sidang akhbar khas di sini Jumaat bagi menjelaskan persediaan syarikat utiliti tersebut sempena menjelang perayaan tahunan berkenaan.
Hasil unjuran kasar PLN berdasarkan sambutan Hari Raya Nyepi pada tahun lalu, mereka menganggarkan penjimatan bahan bakar minyak selama sehari untuk stesen janakuasa elektrik tempatan sehingga 11 bilion rupiah (kira-kira RM3,125,910).
Baca : Bali Sunyi Sepi Sabtu Ini Sempena Hari Raya Nyepi

Kiraan itu ekoran pengurangan bekalan elektrik lebih 50 peratus dalam masa 24 jam di seluruh Bali melibatkan kira-kira sejuta liter minyak, sebahagian besarnya disebabkan majoriti kediaman memadam tenaga elektrik sepanjang perayaan itu.
“Pada Hari Raya Nyepi tahun 2014, PLN hanya guna separuh daripada 780 MW (MegaWatt) beban puncak dan tahun ini, berdasarkan penggunaan semasa pernah cecah 850 MW, kita jangka beban puncak pada Sabtu jatuh sehingga 425 MW,†ujar Wayan.
Hari Raya Nyepi yang disambut bersempena dengan kedatangan Tahun Baharu Saka menurut kepercayaan masyarakat Hindu di pulau popular pelancong antarabangsa itu menyebabkan semua aktiviti harian penduduk ‘lumpuh’ sepanjang hari tersebut.

Penganut Hindu akan berada di dalam rumah khusyuk beribadat dalam keadaan sunyi sepi bagi membersihkan diri daripada dosa termasuk tidak menggunakan bekalan elektrik bahkan stesen radio dan televisyen tempatan juga tidak bersiaran pada hari itu.
Kali ini, Tahun Baharu 1937 Saka yang disambut pada Sabtu dijangka mengakibatkan bekalan elektrik hanya dibekalkan kepada pihak hospital, balai bomba, polis dan markas tentera di Bali sebagai siap siaga jika berlaku kes kecemasan.
Lapangan terbang antarabangsa Gusti Ngurah Rai di sini juga ditutup melibatkan pembatalan 422 penerbangan oleh 187 buah syarikat penerbangan kecuali atas urusan pendaratan kecemasan pesawat atau penerbangan ihsan pesakit kes kritikal.

Dalam pada itu, Presiden Indonesia, Joko Widodo dan isteri, Iriana turut meluangkan masa menyambut Tawur Agung Kesanga peringkat Nasional di Kompleks Candi Prambanan di Yogyakarta, Jawa sebelum menunaikan solat Jumaat di Kraton.
Beliau kemudian bersalaman dan memberi duit raya 100,000 rupiah (kira-kira RM30) kepada setiap warga emas beragama Hindu sambil mengucapkan Selamat Tahun Baharu 1937 Saka pada acara yang diraikan sehari sebelum Hari Raya Nyepi itu.
Namun, sebagai menjaga sensitiviti masyarakat Islam yang kebetulan sibuk menunaikan solat Jumaat, acara perarakan berhala Tawur Kesangga dibuat dalam skala kecil dan mengelak laluan berdekatan masjid tempatan. – Agensi