
JIKA semalam pihak Tegar membuat satu sidang media mendedahkan perlakuan sumbang bekas pengurusnya, tak lama selepas itu, individu tersebut tampil menepis segala dakwaan yang dibuat.
Menurut Arif Dollah, segala tuduhan yang dilemparkan terhadapnya merupakan satu fitnah, malah berkata, pihak Tegar telah mereka cerita untuk memburukkan namanya.
TERDAHULU: Pengakuan Eksklusif: Tegar Mengaku Dicabul Bekas Pengurus
Imbasnya, pada 23 Februari lalu dia menerima satu khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada ibu Tegar menuduhnya meliwat kanak-kanak berusia 13 tahun itu.
“Saya amat terkejut dengan tuduhan itu. Saya kemudian meminta ibunya membuat laporan polis dan menjalani pemeriksaan doktor jika benar dia diliwat.
“Bagaimanapun, tiada sebarang jawapan daripada ibunya dan saya sendiri tidak tahu sama ada dia ada melakukan pemeriksaan doktor atau melaporkannya kepada polis,” ujar Arif dalam satu temu bual melalui panggilan telefon bersama Harian Metro.
Justeru, dia terkejut dengan tindakan pihak Tegar membuat satu sidang media dan menuduhnya melakukan gangguan seksual terhadap penyanyi itu semenjak November 2014 sehingga awal Januari tahun ini.
“Saya pelik kenapa mereka ubah cerita. Jika betul saya meliwat Tegar, kenapa laporan yang dibuat lain?
“Bagaimana boleh timbul pula cerita saya menyuruh dia tidur memakai seluar dan menemaninya ketika mandi?” soalnya.
Arif berkata, dia dan Tegar di Kuala Lumpur pada November tahun lalu bagi menjayakan satu persembahan di Istana Budaya dan tinggal di sebuah kondominium milik rakannya di Jalan Dutamas.
“Di rumah itu hanya kami bertiga dan kami tidur sebilik. Jika benar saya dan Tegar tidur memakai seluar dalam, tentu rakan saya itu pelik. Saya nafikan perkara itu berlaku. Tegar tidak memakai seluar dalam, dia tidur memakai seluar pendek saja.
“Bagaimanapun saya akui ada menemani Tegar mandi tetapi saya hanya tunggu di luar pintu bilik air kerana Tegar seorang yang penakut,” katanya.
Selain itu Arif turut menafikan dirinya mencuri beberapa barangan milik Tegar ketika mereka tinggal di kediaman tersebut.
Menurutnya, gitar tersebut dibeli hasil perkongsian mereka berdua kerana harganya yang mencecah RM10,000 lantas dia mengambil keputusan untuk menyimpannya bagi tujuan keselamatan.
“Saya menyimpannya atas permintaan Tegar sendiri. Dia takut barangan itu dijumpai ibunya yang diketahui memang suka menjual barangan berharga untuk mendapatkan wang,” jelasnya.
Dalam laporan media Indonesia semalam, penyanyi cilik Tegar membuat laporan di Komisi Nasional Perlindungan Anak (Komnas PA) atas tuduhan dirinya telah diganggu secara seksual oleh Arif Dollah.
Menurut Tegar, Arif pernah memaksanya tidur dengan hanya mengenakan seluar dalam, malah pengurusnya turut melakukan perkara demikian.
Selain itu, pelantun lagu Aku Yang Dulu Bukanlah Yang Sekarang itu turut mendakwa, mereka berdua pernah mandi bersama-sama.
– MYNEWSHUB.CC
Persembahan Tegar Di Majlis Hari Jadi Datuk Siti Nurhaliza




