PEJAM celik, pejam celik.. kehilangan penuh tanda tanya pesawat milik Malaysia Airlines (MAS) MH370 hampir menjangkau usia setahun pada 8 Mac depan.
Masih terngiang-ngiang hiba tangis ahli keluarga mangsa yang dipaparkan televisyen, juga laporan terkini misi mencari dan menyelamat (SAR) penumpang yang mencecah 239 orang itu, saban hari sejak pesawat berkenaan diberitakan hilang dari radar.
Walaupun lara dikongsi seluruh penduduk dunia, namun ia tidak sedikitpun dapat menandingi hiba  yang ditanggung ahli keluarga mangsa.
Meniti usia dari sebulan ke sebulan, tragedi MH370 semakin dilupakan masyarakat, sementelah beberapa nahas pesawat lain turut berlaku, antaranya MH17 dan QZ8501.
BERKAITAN: Malaysia Isytihar Semua Penumpang MH370 Terkorban
Bagaimanapun jauh di dasar hati keluarga mangsa yang hilang, mereka masih menanti berita baik tentang MH370.
Antara yang setia menunggu adalah Intan Maizura Othman, isteri kepada Muhammad Hazrin, salah seorang pramugara pesawat malang itu.
Wanita tabah tersebut menjadi salah satu figura hebat dan tak lekang diburu media kerana ketika kehilangan pesawat berlaku, dia sedang sarat mengandung anak keduanya bersama Muhammad Hazrin.
73 hari selepas tarikh keramat pesawat tersebut lesap, bayi lelaki yang dipanggil Muhammad dilahirkan dengan selamat.
Kini, mencapai usia lingkungan 10 bulan, tanpa pernah sedikitpun mendapat kasih sayang seorang bapa, Muhammad hanya memiliki Intan Maizura sebagai ibu yang terus kuat menjaganya serta si kakak, Iman.
Sudah pasti, luka kerinduan yang ditanggung Intan tak pernah padam semenjak 8 Mac 2014. Segelintir masyarakat yang prihatin, menjadi saksi Intan acapkali memuat naik luahan rasa terhadap suaminya dari masa ke semasa.
Terbaharu, Intan berkongsi rindu bersama anak sulungnya, Iman terhadap Muhammad Hazrin. Melalui medium Instagram, Intan menghamparkan rasa untuk dikongsi bersama masyarakat.
Tulisnya, “Hi B… I actually missing you badly. I just had a conversation with Iman, B. She said she want to bring your old handphone to syurga (she already pack inside a plastic bag) and she ask me to tie up the plastic bag for her…
“She can’t wait to go and see you in syurga. Now the date is just around the corner, she always crying everytime she about to sleep, she always said ‘Iman miss papa’…
“Just too long for her since you left… Almost a year B… You never leave her this long… Too much for her to take… For me either. Sleep tide sayang, See you when I see you.”
Melalui ruang komen di Facebook Friends of BN yang berkongsikan tulisan Intan itu, ramai pengguna melimpahkan simpati dan takziah.
Malah tak kurang juga yang meninggalkan kata-kata semangat agar wanita itu terus tabah membesarkan kedua-dua anak tanpa suami di sisi.
Ya, Tuhan itu Maha Adil dalam membuat aturan kehidupan dan telah terlipat dalam suratan bahawa Intan, Iman dan Muhammad bakal kehilangan suami serta bapa.
Dua hari sebelum genap setahun kehilangan MH370, misterinya masih belum dapat dirungkai mana-mana pihak walaupun atmosfera dunia penerbangan dan media dihujani pelbagai teori konspirasi.
Takziah buat seluruh keluarga para penumpang pesawat MH370. Al-Fatihah.
– MYNEWSHUB.CC
Oleh: IZZAT MOHD ANUAR
Pembaca Berita Sebak Laporkan Luahan Rasa Intan MaizuraÂÂ