JOHOR BHARU – Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan akan memastikan perayaan chingay yang disambut masyarakat Tiong Hua diiktiraf Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNESCO) sebagai warisan kebudayaan dunia.
Menterinya Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata sebagai langkah pertama ke arah itu, beliau akan mengarahkan Jabatan Warisan di bawah kementeriannya untuk bekerjasama rapat dengan UNESCO dalam apa jua urusan berkaitan.
“Selaku Menteri, saya berjanji akan mengarahkan Jabatan Warisan agar memberi kerjasama yang terbaik dan sepenuhnya kepada UNESCO bagi memastikan hasrat memperoleh pengiktirafan itu menjadi kenyataan suatu hari nanti,” katanya ketika berucap merasmikan sambutan perayaan Chingay di sini, malam malam tadi.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan negeri Datuk Tee Siew Kiong dan Presiden Persekutuan Tiong Hua Johor Baharu, Datuk Seri Tey Kim Chai.
Perayaan Chingay yang dirai setiap tahun pada hari ke-21 bulan pertama kalendar Lunar Cina, kali ini dihadiri kira-kira 300,000 pengunjung dari dalam dan luar negara.
Mohamed Nazri berkata, bagi membolehkan perayaan Chingay disambut pelbagai masyarakat, beliau akan memastikan ia dimasukkan dalam kalendar pelancongan negara, mulai tahun ini.
“Chingay adalah perayaan yang membolehkan masyarakat Tiong Hua mempamerkan kebebasan agama dan kebudayaan kaum mereka tersendiri.
“Namun demikian, ia juga dapat memupuk semangat perpaduan kerana secara langsung mengajak masyarakat lain meraikannya bersama, sekali gus mengekalkan konsep 1Malaysia,” katanya.
Sementara itu, Tey berkata pihaknya bercita-cita agar perayaan Chingay diberi status warisan kebudayaan dunia oleh UNESCO, sesuai dengan keunikan yang ada padanya.
“Ini sememangnya impian rakyat Johor dan juga seluruh rakyat Malaysia kerana Chingay merupakan acara agama dan acara budaya tradisi Tiong Hua yang berlangsung di Johor Baharu sejak 1870,” katanya.
Sambutan Chingay kali ini memperlihatkan sebanyak 11 kenderaan berhias turut serta dalam perarakan, selain diserikan dengan persembahan tarian singa, tarian kebudayaan, pertunjukkan bunga api dan seni mempertahankan diri. – BERNAMA

